fb fb fb fb fb

EPL: Liverpool semakin hampir jadi juara

Ketua pasukan Liverpool Virgil Van Dijk menjaringkan gol kemenangan ketika menentang West Ham di Anfield / Foto REUTERS

LIVERPOOL, England, 14 April – Liverpool hanya selangkah sahaja lagi untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menang 2-1 ke atas West Ham United pada Ahad.

Pemain sayap Liverpool ,Mohamed Salah turut mencipta rekod baharu bantuan gol terbanyak dalam satu musim.

Pada perlawanan berkenaan, kapten Liverpool Van Dijk menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-90 di hadapan penyokong "The Kop", meletakkan Liverpool hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk dinobatkan selaku juara liga musim ini.

"Fokus utama adalah mendapatkan tiga mata dan semakin hampir dengan impian kami. Semua tahu betapa saya sayangkan kelab ini, kita lihat bagaimana minggu depan nanti," kata Van Dijk.

"Saya sangat berbangga dapat menjadi kapten buat kali ke-100 untuk Liverpool hari ini.

"Ia adalah hari yang penuh emosi dengan ulang tahun Hillsborough", katanya.

Liverpool bermula dengan baik, dan Salah menghasilkan hantaran lintang cantik untuk gol pembukaan yang disudahkan oleh Luis Diaz di hadapan pintu gol.

Gol tersebut membolehkan Salah mencipta rekod bantuan gol terbanyak dalam satu musim 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan 45 (27 gol, 18 bantuan gol).

West Ham hampir menyamakan kedudukan apabila Mohammed Kudus cuba menewaskan Alisson dengan sepakan lambung, namun penjaga gol Brazil itu berjaya menepis bola ke palang.

Alexis Mac Allister hampir menambah jaringan melalui sepakan percuma dua minit selepas rehat tetapi penjaga gol Alphonse Areola berjaya menepis sepakan berkenaan.

Ketika West Ham semakin menguasai permainan, penyokong Anfield kelihatan gelisah dan Salah pula kelihatan kecewa apabila dikeluarkan dari padang, melanjutkan kemarau jaringannya kepada lima perlawanan dalam semua kejohanan.

Seminit selepas itu, Liverpool menghadiahkan gol penyamaan apabila berlaku salah faham antara barisan pemain pertahanan dan Andy Robertson menjaringkan gol sendiri ketika cuba menghalang hantaran Aaron Wan-Bissaka.

Robertson dilihat marah terhadap Van Dijk kerana tidak menyekat hantaran tersebut, namun kapten Liverpool itu menebus kesilapannya apabila menanduk masuk gol kemenangan hasil sepakan sudut Mac Allister.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool kini mendahului Arsenal dengan kelebihan 13 mata dan hanya berbaki enam perlawanan.

West Ham pula berada di kedudukan ke-17 dengan 35 mata, 14 mata dari zon penyingkiran.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD