fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2027, platform lahirkan atlet Olimpik - MOM

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Negara (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 April- Penganjuran Sukan SEA 2027 dilihat sebagai platform dalam memberi peluang atlet mempertingkatkan keupayaan mereka untuk terus ke peringkat sukan lebih tinggi termasuk Sukan Olimpik.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Negara (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata ke arah itu, persiapan perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Antaranya mempersiapkan pelapis muda serta sasaran pingat.

"Kita lihat Sukan SEA 2027 ini adalah masanya untuk kita persiapkan atlet kita yang akan menjadi Olimpian dalam masa 4-8 tahun akan datang.

Kita pun mengharap bila 2027 ini, kita jadi juara keseluruhan dari segi jumlah pingat emas. Kita nak jadi juara keseluruhan dimana kita tahu atlet kita ada peluang dalam sukan Olimpik," kata Datuk Nazifuddin kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Wisma MOM di ibu negara.

Tambahnya, kejayaan sukan juga perlu kerjasama semua pihak secara berterusan bagi memastikan pelapis baru dalam bidang sukan dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, Nazifuddin turut menegaskan sudah tiba masanya sistem sukan di sekolah diperkasakan bagi melahirkan Olimpian lebih awal.

Ini sekali gus fokus kepada sukan-sukan utama dapat ditambahbaik dan diselaraskan dakam sistem sukan sekolah.

"Perlulah kita melihat sistem sukan Malaysia dengan lebih serius. Apa yang kita nak lihat dalam sistem sukan di sekolah adalah satu sistem dimana daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sampailah ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Ia adalah satu sistem yang berterusan dan ada perjalanan kerjaya yang jelas untuk atlet selain senang untuk mereka lalui menjadi seorang bertaraf antarabangsa," tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM