fb fb fb fb fb

Lee Chong Wei dilantik sebagai Duta Sukan Johor

Datuk Lee Chong Wei/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 18 April- Lagenda Badminton Negara Datuk Lee Chong Wei secara rasminya dilantik sebagai Duta Sukan Johor, hari ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohd Ekmaluddin Ishak berkata, pelantikan itu sebagai simbolik aspirasi Johor, demi memperkasa budaya sukan yang berkelas dunia.

"Pendekatan kita adalah lebih bersifat kolaboratif di antara Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor dan juga Datuk Wira Lee Chong Wei dan pastinya kita akan kenal pasti sukan-sukan yang ada potensi tinggi berdasarkan potensi semasa atlet-atlet negeri Johor.

"Ia juga berdasarkan kepada pelan pembangunan negeri Johor. Menerusi pelan pembangunan Sukan Negeri Johor dan dari situ, kita akan menyusun beberapa program-program yang bersesuaian bengkel-bengkel latihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini.

Datuk Lee Chong Wei berperanan penting dalam menyuntik semangat atlet muda, selain menyumbang dalam program kemasyarakatan, serta promosi inisiatif pembangunan sukan negeri.

"Saya berharap setiap bulan saya boleh datang dan melihat perkembangan pelbagai jenis sukan serta memberi galakan galakan kepada generasi muda dan para atlet muda.

"Saya juga berharap dapat menyumbang kepada dunia sukan dan membawa ia ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Menurut Chong Wei pelantikan itu juga sebagai pengiktirafan tertinggi kepada beliau, atas sumbangan luar biasa dalam kancah sukan badminton negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI