LIVERPOOL, 27 Disember- Liverpool bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk menewaskan Leicester City 3-1 di Anfield pada Khamis, sekali gus melebarkan jurang tujuh mata di puncak Liga Perdana Inggeris.
Leicester yang bergelut dalam liga mengejutkan tuan rumah dengan mendahului seawal minit keenam menerusi Jordan Ayew.
Namun, Liverpool menyamakan kedudukan menerusi Cody Gakpo sebelum rehat separuh masa pertama.
Liverpool terus mengasak sebaik separuh masa kedua bermula dan hanya memerlukan empat minit untuk mendahului melalui Curtis Jones sebelum Mohamed Salah memastikan kemenangan dengan jaringan pada minit ke-82.
Kemenangan tersebut melanjutkan rekod tanpa kalah Liverpool dalam liga kepada 13 perlawanan dan mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan 42 mata.
Liverpool turut mempunyai satu perlawanan dalam tangan berbanding Chelsea di tempat kedua dengan 35 mata dan Nottingham Forest di tempat ketiga dengan 34 mata.
Pada perlawanan berkenaan, Leicester terlebih dahulu mengejutkan penyokong tuan rumah apabila Stephy Mavididi membuat hantaran lintang yang disudahkan oleh Ayew selepas menewaskan Andy Robertson.
Robertson hampir menebus kesilapannya apabila tandukannya terkena tiang pada minit ke-25 manakala sepakan melengkung Salah terkena palang pada minit ke-45.
Beberapa saat kemudian, Gakpo memotong dari sebelah kiri dan melepaskan rembatan melengkung yang menewaskan penjaga gol Leicester, Jakub Stolarczyk, untuk gol penyamaan buat menceriakan tuan rumah.
Sementara itu, Pengurus Liverpool, Arne Slot memuji semangat juang para pemainnya untuk memenangi perlawanan.
“Kedengarannya pelik, tetapi saya rasa kami bermula dengan baik.
"Namun, satu saat di mana kami memandang remeh situasi menyebabkan gol.
"Kami terpaksa bekerja keras untuk bangkit semula dan jaringan penyamaan sebelum rehat benar-benar membantu", katanya.
Gol kedua menerusi Jones hadir selepas Liverpool menggerakkan bola dengan baik di ruang sempit sebelum hantaran Alexis Mac Allister disudahkan oleh pemain England itu.
VAR mengambil masa yang lama untuk mengesahkan jaringan tersebut dan juga membatalkan gol Gakpo pada minit ke-67 kerana ofsaid.
Salah melengkapkan kemenangan dengan jaringan gol ke-100 di laman sendiri dalam Liga Perdana Inggeris.
Beliau menunjukkan kepakaran dengan memotong dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan ke sudut gawang.
“Kami tidak boleh nafikan bahawa kami berada di kedudukan yang baik.
"Tetapi kekuatan pasukan kami adalah mendekati setiap perlawanan sebagai cabaran baharu, dan ini memastikan kami kekal lapar dan bekerja keras,” kata Gakpo.
Dalam pada itu, Leicester jatuh ke zon penyingkiran selepas Wolverhampton Wanderers naik melepasi mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Manchester United pada Boxing Day.
Leicester kekal dengan 14 mata selepas mengalami tiga kekalahan liga berturut-turut, dua mata di atas Ipswich Town yang berada di tempat kedua terakhir.
Liverpool akan berkunjung ke West Ham United pada Ahad, manakala Leicester akan menerima kunjungan juara bertahan, Manchester City, pada hari yang sama.-REUTERS.