UNITED KINGDOM, 26 Ogos – Liverpool terpaksa bergantung kepada sentuhan penyudah pemain berusia 16 tahun, Rio Ngumoha untuk menewaskan Newcastle 3-2 dalam aksi dramatik Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Isnin.
The Reds yang mendahului dua gol hasil jaringan Ryan Gravenberch dan Hugo Ekitike, hampir dikejutkan selepas Newcastle yang beraksi dengan 10 pemain bangkit menyamakan kedudukan menerusi Bruno Guimaraes dan William Osula.
Namun, Ngumoha muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-100, sekali gus menjadikannya penjaring termuda dalam sejarah Liverpool.
Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui perlawanan itu penuh emosi.
“Mungkin bukan dari segi taktikal yang terbaik, tetapi inilah keindahan Liga Perdana, penuh drama dan menghiburkan peminat bola sepak di seluruh dunia,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Liverpool kini berkongsi enam mata maksimum bersama Tottenham dan Arsenal, yang bakal bertandang ke Anfield hujung minggu ini. -AFP