LONDON, 29 Disember- Arsenal mensia-siakan peluang bagi menerajui Liga Perdana Inggeris selepas tewas 2-0 kepada musuh setempat, West Ham United pada Khamis.
Pada perlawanan yang berlangsung di Emirates, pasukan pelawat, West Ham hanya melakukan tiga percubaan ke arah pintu gol tuan rumah, Arsenal sebelum memperolehi gol pertama menerusi Tomas Soucek sebelum tamat separuh masa pertama dan kemudiannya melebarkan kedudukan menerusi bekas pemain pertahanan Arsenal, Konstantinos Mavropanos pada separuh masa kedua.
Arsenal kekal di tangga kedua liga dengan 40 mata ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Liverpool yang menewaskan Burnley 2-0 pada Selasa.
Kekalahan tersebut ternyata sangat mengecewakan pengendali Arsenal, Mikel Arteta yang mengharapkan kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan pasukan berkenaan bagi menjuarai Liga Perdana yang kali terakhir dimenangi pasukan berkenaan pada musim 2003/04.
"Ini merupakan malam yang sangat mengecewakan buat pasukan.
"Kami seharusnya menjaringkan gol dan memenangi perlawanan.
Nasib tidak menyebelahi Arsenal meskipun menguasai perlawanan, namun pasukan berkenaan gagal menjaringkan gol. Percubaan Bukayo Saka yang terkena tiang selain Gabriel Jesus yang terlepas peluang bagi menjaringkan gol membuatkan nasib pasukan utara London itu semakin malang.
Kegagalan tersebut dihukum oleh West Ham menerusi gol kedua oleh Konstantinos Mavropanos pada minit ke-55. Gol tersebut merupakan gol pertama pemain berkenaan buat kelab dan kancah Liga Perdana Inggeris.
"Ini adalah saat terindah dapat menjaringkan gol pertama buat kelab dan Liga Perdana Inggeris.
"Pasukan banyak berlatih melakukan 'set-pieces' dan ia sangat hebat", kata Mavropanos.
West Ham turut berpeluang menjaringkan gol ketiga namun, sepakan penalti yang diambil Said Benrahmah diselamatkan penjaga gol Arsenal, David Raya pada minit akhir perlawanan.
Kekalahan tersebut menimbulkan persoalan terhadap kemampuan Arsenal bagi merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.
Sementara itu, kemenangan menentang Arsenal meletakkan West Ham di tangga keenam liga dengan 33 mata sekali gus menceriakan pengurus David Moyes yang tidak pernah menang menentang Arsenal dalam 22 perlawanan sebelum ini.-REUTERS