fb fb fb fb fb

Kelayakan Olimpik 2024 : Arul panggil pemain muda

Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan, A. Arul Selvaraj /FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Lapan pemain hoki remaja bakal menyertai sesi latihan menjelang kelayakan Sukan Olimpik yang berlangsung di Muscat, Oman bermula 13 hingga 21 Januari depan.

Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan, A. Arul Selvaraj berkata, pemilihan dibuat berasaskan prestasi mereka pada saingan Piala Dunia Remaja tempoh hari.

"Saya sertakan lapan pemain remaja untuk berlatih dengan pasukan senior.

"Jadi kini kita mempunyai 28 pemain yang menyertai latihan dan kita mempunyai semangat yang baik.

"Jurulatih skuad remaja, Amin Rahim mengesyorkan pemain-pemain ini.

"Jadi ini adalah masa terbaik bagi kita memberi peluang kepada mereka untuk turut serta bermain dalam skuad kali ini", kata Arul ketika ditemui media di sini.

Menurut Arul, tumpuannya kini adalah untuk mengurangkan kesalahan taktikal yang dilakukan anak-anak buahnya.

Selain itu, Arul juga mahu memastikan para pemainnya membuat keputusan ketika beraksi di atas padang.

Pasukan negara perlu mengakhiri saingan di kelompok tiga teratas untuk meraih tiket ke Olimpik Paris 2024 pada pusingan kelayakan di Oman itu nanti.

Kali terakhir Malaysia tampil di Sukan Olimpik ialah pada edisi Sydney 2000.

Dalam perkembangan berkaitan, Arul berharap tarikh pengumuman senarai akhir pemain yang ditetapkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), boleh dianjakkan lagi.

"FIH sudah umumkan senarai akhir pemain perlu diumumkan sebelum 1 Januari depan.

"Kita cuba sama ada kita boleh umum senarai sebelum 1 Januari atau ditangguhkan seketika", kata Arul.

Skuad Speedy Tigers akan mengharungi dua perlawanan persahabatan bertemu Chile dan Kanada sebelum bermula aksi kelayakan Sukan Olimpik itu.

Skuad negara dijadual berentap dengan Great Britain, Pakistan dan China dalam Kumpulan A; manakala Kumpulan B terdiri daripada Jerman, New Zealand, Kanada serta Chile.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD