fb fb fb fb fb

EPL: Arsenal hambat Liverpool

Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Brentford pada Rabu / Foto REUTERS

LONDON, 2 Januari- Arsenal memulakan tahun baharu 2025 dengan bergaya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Brentford 3-1 di tempat lawan, sekali gus membolehkan pasukan berkenaan melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Rabu.

Walaupun tanpa bintang utama Bukayo Saka, yang terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua bulan akibat pembedahan hamstring, Arsenal membuktikan mereka masih mampu bersaing untuk merebut kejuaraan liga.

Perlawanan menentang Brentford, yang cemerlang di laman sendiri musim ini, dianggap ujian penting untuk skuad kendalian Mikel Arteta.

Pada perlawanan tersebut, Arsenal dikejutkan seawal minit ke-13 apabila Bryan Mbeumo meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan menerusi serangan pertama mereka.

Bagaimanapun, Arsenal tidak panik dan penyerang Gabriel Jesus menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama.

Pada babak kedua Arsenal bermula agresif apabila Mikel Merino menjaringkan gol kedua lima minit selepas rehat susulan kekeliruan Brentford ketika bertahan daripada sepakan sudut.

Tiga minit kemudian, Gabriel Martinelli menambah jaringan ketiga menerusi sepakan voli menarik.

Kemenangan tersebut meletakkan Arsenal di tangga kedua dengan 39 mata daripada 19 perlawanan, di belakang pendahulu Liverpool yang mengumpul 45 mata daripada 18 perlawanan.

Brentford, yang mengalami kekalahan kedua di laman sendiri musim ini, kini di tangga ke-12 dengan 24 mata.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD