LONDON, 21 Oktober - Nottingham Forest melantik Sean Dyche sebagai ketua jurulatih baharu dengan perjanjian sehingga 2027.
Demikian menurut Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bekas pengendali Burnley dan Everton itu menggantikan Ange Postecoglou selepas pengurus dari Australia itu dipecat Sabtu lalu, hanya sempat berkhidmat selama 40 hari di City Ground.
Ini sekali gus menjadikan Dyche pengedali ketiga Forest dan merupakan tugas pertamanya sejak meninggalkan Everton pada awal tahun ini.
"Dyche seorang pengurus EPL yang dihormati dan berpengalaman, beliau membawa gabungan watak yang sempurna, ketajaman taktikal dan pencapaian yang terbukti untuk membimbing kelab," kata kenyataan tersebut.
Ujian pertama Dyche akan bermula pada awal pagi Jumaat ini apabila Forest akan bermain di laman sendiri menentang Porto dalam saingan Liga Europa.
Sabtu lalu, Postecoglou dipecat beberapa minit selepas Forest tewas 0-3 kepada Chelsea, menjadikan beliau pengurus paling singkat berkhidmat dalam sejarah EPL.
Forest berada dalam zon penyingkiran EPL apabila hanya mengutip lima mata selepas lapan perlawanan, meskipun skuad itu melakukan pelaburan lebih 100 Juta Pound semasa jendela perpindahan. -AFP