fb fb fb fb fb

Dua penjaga gol hoki negara 'berguru' di Belanda, mantapkan ilmu kejurulatihan

BUKIT JALIL, 22 Julai - Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menghantar dua bekas penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin dan S Kumar untuk 'berguru' selama tiga minggu di Akademi Penjaga Gol Martijn Drijver di Belanda bermula Ahad ini.

Akademi milik jurulatih penjaga gol terkemuka Drijver itu akan memberi peluang kepada kedua-duanya menimba ilmu kejurulatihan bersama dengan barisan penjaga gol terbaik seluruh dunia yang turut akan berada di sana.

Roslan dan Kumar ketika ini menggalas tugas selaku jurulatih penjaga gol skuad negara.

(Datuk Seri Subahan Kamal)

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata langkah badan induk itu untuk menghantar kedua-dua bekas penjaga gol kebangsaan berkenaan ke Belanda membuktikan komitmen mereka dalam usaha untuk turut melahirkan jurulatih berkualiti.

"Saya harap apa yang mereka pelajari semasa di sana akan dapat disalurkan pula kepada jurulatih muda lain di peringkat negeri dan Program Pembangunan Hoki Negara.

"Kami bukan sahaja mahukan skuad negara berada di kedudukan terbaik dalam ranking dunia tetapi juga dapat melahirkan jurulatih terbaik yang mungkin satu hari nanti mereka mampu melatih pasukan terbaik di dunia," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad lelaki kebangsaan, Arul Selvaraj berkata posisi penjaga gol amat penting dalam sukan hoki dan atas faktor itu, peluang yang diberikan kepada Roslan dan Kumar harus dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Media Baharu