BUKIT JALIL, 7 Julai - Dua Beregu wanita negara Pearly Tan dan M Thinaah serta Anna Cheong Ching Yik dan Teoh Mei Xing melakar kejutan mara ke suku akhir selepas menewaskan pilihan kejohanan.
Pearly Tan dan M Thinaah menewaskan pilihan ke-4 kejohanan Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota dari Jepun, 21-14, 21-19.
Manakala, Anna Cheong Ching Yik dan Teoh Mei Xing menumbangkan pilihan ke-5 kejohanan dari Jepun, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara dengan keputusan 21-11, 21-15.
Bersaing sengit pada awal set pertama, Anna dan Mei Xing semakin
menjarakkan diri pada kedudukan mata ke-13 seterusnya menutup set pertama dengan kemenangan 21-11.
Meskipun Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara cuba bangkit, namun corak permainan pantas ditampilkan gandingan negara menghuni ranking ke-37 dunia itu memastikan set kedua menjadi milik Malaysia dengan keputusan 21-15.
Pearly Tan dan M Thinaah yang turun selepas itu tampil garang menumpaskan Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota 21-14 pada set pertama.
Walaupun gandingan Jepun berada ranking ke-2 dunia itu kembali memperkemas aksi pada set kedua, namun Pearly dan M. Thinaah kekal tenang memenangi set kedua dengan keputusan 21-19.
Anna dan Mei Xing bakal bertemu wakil Korea, Jeong Na Eun dan Kim Hye Jeong pada suku akhir esok.
Manakala Pearly dan M Thinaah bakal berdepan cabaran lebih sukar menentang Juara Terbuka Malaysia 2022, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhani dari Indonesia.