fb fb fb fb fb

DBKL kaji semula rasional pemberian hak pengurusan Stadium KL

KUALA LUMPUR, 7 Julai - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengkaji semula rasional pemberian hak pengurusan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras kepada sebuah syarikat swasta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata pihaknya juga perlu melihat justifikasi cadangan daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) supaya pengurusan stadium itu diserahkan kembali kepada persatuan berkenaan.

"Kena kaji balik apakah rasional yang dibuat ketika menyerahkan stadium ini, sama ada syarikat itu masih 'continue' mempunyai rasionalnya atau perlu dilihat semula, dan tengok macam mana. Keputusan yang kita nak buat adalah untuk memudahkan dan memberikan keuntungan kepada semua pihak.

"Yang penting sekali, setiap perkara dilaksanakan mestilah menjamin kemampanan bandar raya serta memberikan faedah kepada warga kota".

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan tajaan KL Car Free Morning di sini, pada Khamis.

Semalam, Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad mendakwa syarikat swasta yang mengambil alih pengurusan stadium secara pajakan tidak mampu menangani pelbagai masalah penyelenggaraan berkaitan padang dan aspek pencahayaan, terutamanya ketika saingan Piala AFC, bulan lalu.

(Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menghadiri majlis penyerahan
tajaan KL Car Free Morning di ibu negara pada Khamis/FOTO FB DBKL)

Beliau berkata jika diamanahkan menguruskan stadium itu, KLFA akan memastikan ia diselenggara dengan baik bagi sebarang penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Anwar Mohd Zain menjelaskan pihaknya akan meneliti semula perjanjian yang dibuat dengan syarikat berkenaan sama ada intipatinya ditepati atau sebaliknya.

Media Baharu