KUALA LUMPUR, 8 Julai - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu kertas kerja daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berkenaan dana tambahan untuk skuad hoki negara ke Kejohanan Dunia di India tahun hadapan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ti Lian Ker menyatakan pihak KBS sentiasa terbuka untuk menerima cadangan demi kemajuan sukan negara.
Namun katanya, cadangan tersebut akan melalui pertimbangan dan beberapa proses sebelum diluluskan oleh kementerian yang berkaitan antaranya Kementerian Kewangan.
(Timbalan Menteri Belia dan SukanĀ , Datuk Seri Ti Lian Ker)
"KBS bersedia menerima apa juga cadangan yang baik untuk membangunkan bukan sahaja hoki, bola sepak dan badminton dan sebagainya, tetapi segala cadangan juga perlu bersesuaian dan mengambil kira pertimbangan dan faktor-faktor lain kementerian lain dan sebagainya," kata Ti Lian Ker, selepas melancarkan filem "Anak Rimau" di sini, semalam.
Terdahulu, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal menyatakan dana tersebut diperlukan antaranya untuk mengambil jurulatih fizikal yang berkepakaran tinggi sebagai langkah meningkatkan lagi prestasi skuad bimbingan Arul Selvaraj.