MADRID, 22 April- Legenda tenis Sepanyol, Rafael Nadal mengakui bahawa beliau langsung tidak merindui dunia tenis selepas bersara secara rasmi pada November lalu.
Pemenang 22 gelaran Grand Slam itu berkata demikian ketika menerima Anugerah Ikon Sukan di Majlis Laureus World Sport Awards yang berlangsung di Madrid, hari ini.
“Sejujurnya, saya langsung tak rindu tenis. Kosong. Tak rindu langsung,” kata Nadal kepada pemberita.
Namun begitu, beliau menegaskan keputusan bersara dibuat bukan kerana jemu atau kecewa dengan sukan tersebut.
“Saya mengakhiri karier saya dengan gembira. Kalau boleh, saya mahu terus bermain kerana saya memang cintakan sukan ini sepanjang hidup saya.
“Tapi bila kita sedar fizikal kita tak mampu lagi, kita kena belajar tutup buku. Dan saya sudah pun tutupnya,” ujar Nadal yang terkenal dengan ketabahan dan semangat juangnya di gelanggang.
Juara 14 kali Terbuka Perancis itu bergelut dengan kecederaan berulang selama bertahun-tahun sebelum membuat keputusan untuk bersara.
“Saya tangguhkan keputusan (bersara) kerana saya perlukan masa untuk pastikan ia keputusan yang betul.
“Kalau saya terus duduk di sofa tertanya-tanya sama ada patut terus cuba atau tidak, itu yang akan jadi sukar,” katanya.
Menurut Nadal, ketenangan hatinya kini datang daripada keyakinan bahawa beliau telah berikan segalanya.
“Saya berhenti dengan penuh ketenangan. Saya tahu saya dah berikan 100 peratus dan tubuh saya dah tak mampu beri lebih daripada itu,” tambahnya.- AFP