fb fb fb fb fb

Pengurus Norwich dipecat, Jack Wilshere ambil alih secara interim

Johannes Hoff Thorup dipecat selepas Norwich City mencatat tiga kekalahan berturut-turut

LONDON, 22 April- Kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Norwich City hari ini mengumumkan pemecatan pengurus pasukan, Johannes Hoff Thorup selepas mencatat tiga kekalahan berturut-turut.

Bekas pemain tengah Arsenal dan England, Jack Wilshere yang sebelum ini menganggotai barisan kejurulatihan, kini diberi tanggungjawab mengendalikan pasukan secara interim bagi baki dua perlawanan musim ini.

Thorup, 36, dari Denmark, dilantik pada Mei tahun lalu dengan kontrak tiga tahun bagi menggantikan David Wagner, yang disingkirkan selepas kekalahan dalam perlawanan play-off menentang Leeds United.

Namun, prestasi pasukan yang hambar menyebabkan Norwich kini berada di tangga ke-14 Liga Kejuaraan, sekali gus terkeluar daripada persaingan merebut tempat play-off untuk pasukan yang berada di kedudukan ketiga hingga keenam.

Penolong ketua jurulatih, Glen Riddersholm turut meninggalkan kelab bersama Thorup.

Menurut Pengarah Sukan, Ben Knapper, walaupun pelantikan Thorup dibuat dengan fokus jangka panjang sejajar dengan strategi kelab, prestasi semasa memaksa pihak pengurusan membuat perubahan segera.

Wilshere akan membimbing skuad Norwich dalam dua perlawanan terakhir musim ini sementara pihak kelab menilai calon tetap bagi mengisi kekosongan jawatan pengurus.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE