fb fb fb fb fb

Harimau Malaya-Vietnam gegar Bukit Jalil 10 Jun ini

Grafik

KUALA LUMPUR, 21 April – Skuad Harimau Malaya bakal kembali menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil apabila dijadual melayani kunjungan Vietnam dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Rob Friend, menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Harimau Malaya.

Beliau menyifatkan aksi menentang Vietnam bukan sekadar perlawanan kelayakan, tetapi merupakan detik penting menyatukan semangat kebangsaan seluruh rakyat Malaysia.

“Kami yakin sorakan dan sokongan padu daripada penyokong di Bukit Jalil akan menjadi pencetus semangat kepada para pemain untuk mengekalkan momentum kemenangan, seperti yang ditunjukkan ketika menewaskan Nepal baru-baru ini,” katanya.

Malaysia kini berada dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Laos dan Nepal dengan hanya dua perlawanan penting yang masih berbaki – iaitu menentang Vietnam (10 Jun) dan aksi di tempat lawan menentang Laos (9 Oktober).

Perlawanan di Bukit Jalil dijangka menarik perhatian ribuan peminat tempatan yang mahu menyaksikan skuad kendalian Peter Klamovski meneruskan kemaraan dalam misi layak ke Piala Asia 2027.

GRACE AISYAH KEDAYAN