fb fb fb fb fb

Dorival Junior, jurulatih baharu Brazil

Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 8 Januari- Jurulatih Sao Paulo FC, Dorival Junior akan menjadi jurulatih baharu pasukan kebangsaan Brazil.

Pelantikan itu dibuat selepas Fernando Diniz dipecat daripada tugas membimbing bekas juara dunia lima kali itu, akibat rentetan beberapa kekalahan.

"Ia adalah impian peribadi yang menjadi kenyataan,” kata jurulatih yang memenangi Copa do Brasil 2023 itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Sao Paulo di laman X, selepas beberapa hari spekulasi hangat yang mengatakan namanya tercalon untuk mengambil alih pasukan Brazil.

Bagaimanapun, Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) belum mengesahkan pengumuman itu.

Dorival, 61, membimbing Flamengo untuk dua gelaran utama pada 2022 iaitu Copa do Brasil dan Copa Libertadores, setara Amerika Selatan dengan Liga Juara-Juara Eropah, sebelum menyertai Sao Paulo, di mana dia terus merangkul trofi.

Dia mengambil alih kuasa skuad bola sepak Brazil pada saat yang sukar.

"Selecao" telah bergelut dengan beberapa siri kecederaan, termasuk bintang Neymar, yang mengalami kecederaan ligamen lutut ketika tewas 2-0 kepada Uruguay pada Oktober dan dijangka diketepikan selama berbulan-bulan.

Di bawah Diniz, Brazil mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam kelayakan Piala Dunia, termasuk perlawanan Uruguay dan kekalahan memalukan 1-0 di laman sendiri kepada musuh ketat Argentina pada November.

Brazil kini berada di tempat keenam dalam kelayakan Piala Dunia 2026 Amerika Selatan, kedudukan terakhir untuk meraih kelayakan automatik dari benua itu.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM