fb fb fb fb fb

CEO KFA dibebaskan dengan jaminan SPRM

Foto FB KFA

ALOR SETAR, 8 Januari- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Zulkifli Che Haron telah dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Ahad.

Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam KFA Ibrahim Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan Zulkifli dibebaskan pada pukul 10.00 pagi setelah selesai memberi keterangan bersama tiga individu yang lain.

"KFA berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan menghentikan segala tuduhan yang tidak berasas, kerana kes ini masih di peringkat awal siasatan."

Persatuan menafikan semua bentuk keterlibatan rasuah dan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya dalam kenyataan

Ibrahim turut menegaskan persatuan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana projek yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

"Pelantikan CEO adalah bagi melancarkan pentadbiran dan fungsi sekretariat di bawah Setiausaha Kehormat menurut Statut Persatuan dengan kesemua keputusan persatuan perlu diputuskan di bawah Jawatankuasa Eksekutif (Exco KFA) manakala CEO hanya menjalankan tugas bagi melicinkan pentadbiran persatuan," tambah kenyataan itu.

Ibrahim juga menjelaskan bahawa sepanjang penubuhan KFA, pendapatan utama adalah daripada sumbangan syarikat dan badan-badan korporat.

“Segala penerimaan wang telah direkodkan dalam laporan kewangan persatuan dan dibentangkan. Sumbangan diterima adalah tanpa imbalan dan prasangka,”jelasnya.

Tambah Ibrahim, CEO KFA sebelum ini telah menyelesaikan isu tunggakan gaji dan tuntutan hutang semenjak pentadbiran persatuan bertukar kepimpinan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM