fb fb fb fb fb

Arrifin, Jefri dilantik Timbalan Ketua Pengarah MSN baharu

Foto facebook Majlis Sukan Negara

KUALA LUMPUR, 8 Januari - Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Arrifin Mohd Ghani dan Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah MSN yang baharu berkuat kuasa hari ini.

MSN dalam satu kenyataan berkata, Arrifin dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengkomersialan dan Pemasaran) manakala Jefri menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan).

"Arrifin, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Teknologi Mara mula berkhidmat di MSN sebagai Ketua Unit Hubungan Antarabangsa pada 1995, Ketua Unit Program Latihan Atlet (1998), Pengarah Cawangan Elit (2004), Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan (2015) diikuti Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan pada 2018," menurut kenyataan itu.

Beliau kemudiannya dipinjamkan ke Majlis Sukan Negeri Melaka sebagai Pengarah MSN Melaka dari 1 Feb 2019 hingga 4 April 2020, sebelum dipinjamkan ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Sukan hingga Ogos 2023.

Sementara itu, Jefri, 51, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Miami, Florida, Amerika Syarikat memulakan kerjayanya di MSN sebagai pegawai di Bahagian Pembangunan MSN pada 1993 sebelum menyambung pengajian ijazah pada 1996 hingga 1999.

Beliau kembali menyertai MSN pada 1999 di Bahagian Pembangunan hingga 2003, Ketua Unit Sukan Teras pada 2004, Pengarah Cawangan Pelapis (2005-2014) diikuti Pengarah Bahagian Atlet (2015).

Terdahulu, majlis penyerahan surat pelantikan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr K. Nagulendran yang turut disaksikan Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub.

TETITIA YUSOFF