fb fb fb fb fb

Dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA, Datuk Hamidin akui pikul tanggungjawab besar

KUALA LUMPUR, 2 Februari- Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui kejayaannya terpilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia merupakan tanggungjawab besar.

Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan kuat kepada beliau.

“Sudah tentu ini penuh dengan tanggungjawab untuk saya bawa, memastikan bolasepak Malaysia, ASEAN, Asia dan dunia akan bertambah lebih baik daripada sekarang.

"Semasa kunjungan saya bertemu beliau ( Perdana Menteri)telah menyatakan sokongan yang kuat bagi pihak beliau dan kerajaan menyokong saya untuk memastikan menang dan memastikan untuk menduduki kerusi ini untuk meletakkan Malaysia di peta dunia bolasepak", katanya.

Hamidin turut meluahkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta peminat bola sepak negara yang sentiasa menyokongnya.

Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 pada Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia-AFC ke-33, di Pusat Konvensyen Gulf di Manama, Bahrain.


(Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia-AFC ke-33, di Pusat Konvensyen Gulf di Manama, Bahrain)

Beliau yang sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, menerima 30 undian.

Beliau merupakan antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia.

Untuk rekod, Hamidin merupakan rakyat Malaysia keempat yang dilantik selepas Naib Presiden FAM, Lee Kee Siong pada tahun 1960.

Ia disusuli Tan Sri Hamzah Abu Samah pada tahun 1972 dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2015.

Media Baharu