fb fb fb fb fb

Diego Landis pemain import terakhir TFC musim ini

Diego Landis/Foto Facebook Diego Landis

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Benteng pertahanan pasukan Terengganu FC (TFC) diperkukuhkan dengan kehadiran pemain import baharu Diego Landis.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pemain kelahiran Brazil itu telah menandatangani kontrak selama semusim bagi membantu 'Skuad Penyu' mengharungi musim 2025/2026, yang akan bermula 8 Ogos depan.

Beliau berkata, pemilihan pemain berusia 27 tahun itu berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki di peringkat Asia dan Asia Tenggara.

"Kehadiran Landis bakal memberi lebih pilihan di bahagian pertahanan tengah terutama selepas perpindahan beberapa pemain utama pada penghujung musim lepas.

"Kehadirannya akan memberikan kestabilan dan ketenangan di barisan belakang sekali gus memperbaiki rekod pertahanan TFC yang kurang baik pada musim lepas," katanya dalam kenyataan hari ini,

Mohd Syahrizan berkata, pemain berketinggian 1.93 meter itu telah tiba di Terengganu dan akan memulakan sesi latihan kecergasan pada minggu ini.

Beliau berkata sebelum menyertai TFC, Landis pernah beraksi di Liga Thailand bersama kelab Khon Kaen United dan Nakhon Ratchasima.

"Penyokong akan dapat melihat Landis beraksi pada beberapa siri perlawanan persahabatan yang akan diadakan menjelang musim baharu," katanya.

Landis menjadi pemain import terakhir yang ditandatangani skuad Penyu untuk musim ini selepas Yan Mabella, Gabriel Costa, Junior Ngong Sam dan Raianderson da Costa Morais atau lebih dikenali sebagai Careca.-BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD