fb fb fb fb fb

Dembele layak menang Ballon d’Or - Luis Enrique

Ousmane Dembele / Foto AFP

NEW JERSEY, 10 Julai - Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique menyifatkan Ousmane Dembele sebagai calon utama Ballon d’Or selepas persembahan menakjubkan dalam kemenangan 4-0 ke atas Real Madrid dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Kelab, awal pagi tadi.

Dembele, yang sebelum ini direhatkan akibat kecederaan paha, tampil buat kali pertama sebagai kesebelasan utama dalam kejohanan itu dan segera mencuri tumpuan di Stadium MetLife, East Rutherford.

Beliau mencipta bantuan gol kepada Fabian Ruiz seawal minit keenam sebelum menyumbat gol sendiri tiga minit kemudian, memberikan PSG kelebihan awal yang terus dikekalkan hingga tamat perlawanan.

“Ini kali pertama saya melihat Dembele berada pada tahap terbaik dalam kejohanan ini,” kata Enrique. “Dia pemain istimewa, unik dan menjadi bintang yang dinanti-nantikan peminat. Saya harap dia cergas sepenuhnya untuk final.”

1007 SKN LNR ENRIQUE DEMBELE 1Luis Enrique / Foto AFP

Luis Enrique sebelum ini menyatakan keyakinannya bahawa pemain sayap Perancis itu layak memenangi anugerah Ballon d’Or, dan persembahan terbaru Dembele terus mengukuhkan pendapat tersebut.

PSG kini hanya satu perlawanan daripada mencatat sejarah dengan menyapu bersih kejuaraan musim ini.

Selepas menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan besar 5-0 ke atas Milan, mereka kini memburu satu lagi trofi menentang Chelsea dalam perlawanan akhir, Ahad ini.

“Kami hanya tinggal satu langkah lagi untuk bukan sahaja mencipta sejarah, tetapi membina legasi buat PSG dan bola sepak Perancis,” ujar Enrique.

Perlawanan akhir Piala Dunia Kelab akan berlangsung Ahad ini, pukul 3 petang waktu Timur (1900 GMT).-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN