fb fb fb fb fb

Alonso menjanjikan 'era baharu' untuk Real

Foto Reuters

NEW JERSEY, 10 Julai-Real Madrid akan memulakan musim depan dari awal, kata pengendalinya Xabi Alonso selepas tewas 4-0 di tangan Paris Saint-Germain pada separuh akhir Piala Dunia Kelab.

Real mengharungi kempen dengan cemerlang dari awal kejohanan dengan lima pemain di benteng pertahanan, tetapi selepas kehilangan Dean Huijsen akibat penggantungan dan Trent Alexander-Arnold yang cedera, Alonso menukar taktikal kepada empat pemain pertahanan ketika bertemu PSG.

Di barisan depan, Gonzalo Garcia yang cemerlang sepanjang kejohanan bergandingan dengan Kylian Mbappe, namun gagal menembusi pintu gol kelab Perancis itu.

PSG sebaliknya memperoleh dua gol diawal permainan menerusi Fabian Ruiz dan Ousmane Dembele hasil kesilapan pertahanan Real.

"Kami ketinggalan dua gol dan gagal menemui rentak. Ia kekalahan yang memeritkan, kami perlu akui yang permainan kami di bawah tahap sebenar.

"Kita akan memulakan era baharu selepas rehat, dengan minda lebih segar serta kami mahu membina pasukan yang bermain sebagai satu unit, dengan semua orang bermain bersama.

"Kami hanya tinggal satu perlawanan lagi dan dan ia amat menyakitkan melihat apa yang berlaku sekarang," kata Alonso.

Ruiz meledak gol ketiga PSG dan keduanya pada minit ke-24 sebelum pemain gantian, Goncalo Ramos melengkapkan kemenangan pada minit ke-87. -REUTERS

AZRUL FAIZAL JUSOH