fb fb fb fb fb

Dembele, Bonmati dinobat pemenang Anugerah Ballon d’Or

Pemenang Ballon d'Or 2025, Aitana Bonmati (kiri) dan Ousmane Dembele/AFP

PARIS, 23 September- Penyerang Perancis, Ousmane Dembele memenangi anugerah Ballon d’Or lelaki pada Isnin, trofi individu paling berprestij dalam bola sepak.

Anugerah itu sebagai pengiktirafan atas peranannya yang cemerlang membantu Paris Saint-Germain (PSG) menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara musim lalu.

Dembele, 28 tahun, menewaskan bintang remaja Sepanyol dan Barcelona, Lamine Yamal untuk merangkul trofi pada majlis penganugerahan di Paris, sekali gus menggantikan pemain tengah Manchester City dan Sepanyol, Rodri selaku pemenang edisi 2024.

Bekas pemain sayap Borussia Dortmund dan Barcelona itu, yang turut menjadi anggota skuad Perancis ketika menjuarai Piala Dunia 2018, meledak 35 gol dalam semua kejohanan musim lalu.

PSG menamatkan kempen dengan kejuaraan berganda, liga domestik dan Piala Perancis serta meraih trofi Liga Juara-Juara pertama dalam sejarah kelab.

“Saya benar-benar tiada kata-kata. Ia musim yang luar biasa bersama PSG. Ini trofi individu, tetapi sebenarnya ia adalah kemenangan kolektif.

“Ballon d’Or tidak pernah menjadi matlamat utama dalam kerjaya saya. Namun, saya bekerja keras untuk membantu pasukan memenangi Liga Juara-Juara,” kata Dembele yang sebak ketika menerima trofi sambil menyifatkan jurulatihnya, Luis Enrique sebagai seorang bapanya.

Sementara itu, Yamal, 18 tahun, yang pernah bergandingan dengan Dembele di Barcelona ketika mula menyerlah pada 2023, sekali lagi menerima Kopa Trophy untuk pemain bawah 21 tahun terbaik, kali kedua berturut-turut selepas memenanginya tahun lalu.

Dalam pada itu, Aitana Bonmati, bintang Barcelona dan Sepanyol, merangkul Ballon d’Or Wanita buat kali ketiga berturut-turut di Paris.

Pemain tengah berusia 27 tahun itu, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik Euro 2025 walaupun baru pulih daripada meningitis, mengatasi rakan sepasukan Mariona Caldentey dan Alessia Russo dari England.

Sejak anugerah itu diperkenalkan pada 2018, hanya Bonmati, Alexia Putellas, Ada Hegerberg dan Megan Rapinoe pernah memenanginya. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM