(Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi muncul juara 100 meter T35/36 GP
Olahraga Para Dunia 2023 / Majlis Sukan Negara)
KUALA LUMPUR, 8 Februari- Atlet para olahraga negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menghadirkan berita gembira dari Tunisia apabila berjaya merangkul emas acara 100 meter (m) T35/36 (kecacatan fizikal) pada Grand Prix Olahraga Para Dunia 2023 pada Isnin.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu merekodkan masa 12.51 saat untuk meninggalkan pesaing terdekat Abdulsattar Challoob dari Iraq yang membawa pulang perak dengan catatan 13.04 saat dalam kejohanan berlangsung di di Stadium Olahraga Rades, Tunis.
Pelari dari Maghribi, Anass Sikouk pula meraih gangsa dengan catatan 13.69 saat.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah, pula berjaya merangkul perak bagi acara 100 meter T11/12 (masalah penglihatan) dengan mencatat 11.67 saat.
Muhamad Afiq gagal menandingi kehebatan wakil Uzbekistan, Mansur Abdirashidov yang membawa pulang emas menerusi catatan 11.28 saat manakala gangsa milik Mohammed Ayade dari Iraq dengan 12.09 saat.
(Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah sekadar memperoleh pingat perak acara
100 meter T11/12 GP Olahraga Para Dunia 2023 / Majlis Sukan Negara)