fb fb fb fb fb

De Gea zahir ucapan perpisahan kepada penyokong MU

FOTO REUTERS

MANCHESTER, 8 Julai- Ketiadaan penjaga gol Sepanyol, David De Gea di Manchester United selepas ini adalah sesuatu perkara yang amat dirindui peminat.

Kontrak De Gea telah tamat pada 30 Jun lalu selepas 12 musim berkhidmat untuk skuad The Red Devils, sekali gus menjadikan dia sebagai pemain paling lama berkhidmat dengan 550 penampilan.

Sosok pemain tinggi lampai itu mewarnai arena bola sepak Inggeris sejak dia di bawa masuk oleh pengurus legenda, Alex Ferguson pada 2011.

“Saya hanya mahu menghantar mesej perpisahan ini kepada semua penyokong Manchester United,” tulis De Gea di Instagram.

"Saya ingin merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak berbelah bahagi atas kasih sayang selama 12 tahun yang lalu. Kami telah mencapai banyak kejayaan sejak Sir Alex Ferguson yang dikasihi membawa saya ke kelab ini."

De Gea, 32 tahun pernah memenangi Liga Perdana pada musim kedua bersama kelab itu, tahun akhir Ferguson sebagai pengurus selain turut memenangi Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa.

Dia juga pernah dinobatkan pemenang Sarung Tangan Emas untuk rekod bersih terbanyak dalam semusim dua kali, yang kedua datang pada kempen 2022-23 ketika United menduduki tempat ketiga dan layak ke Liga Juara-Juara.

De Gea juga pernah menjadi pemain termahal kelab Manchester United, namun tidak pernah beraksi untuk Sepanyol sejak 2020.


(FOTO REUTERS)

United telah dikaitkan dengan perpindahan untuk mendapatkan penjaga gol Inter Milan, Andre Onana.

"Ia adalah tempoh yang tidak dapat dilupakan dan berjaya sejak saya datang ke sini. Saya tidak menyangka daripada meninggalkan Madrid sebagai seorang budak muda, kami akan mencapai apa yang kami lakukan bersama," kata De Gea.

"Kini, masa yang sesuai untuk menyahut cabaran baharu, untuk mendorong diri saya semula dalam persekitaran baharu."- REUTERS

Media Baharu