fb fb fb fb fb

Datuk Ahmad Najmi dilantik sebagai pengurus baharu skuad kebangsaan - KHM

Presiden KHM, Datuk Seri Subhan Kamal

KUALA LUMPUR, 31 Mac- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melantik Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak sebagai pengurus baharu skuad kebangsaan mengisi kekosongan yang dipegang oleh Datuk Mirnawan Nawawi sebelum ini.

Presiden KHM, Datuk Seri Subhan Kamal berkata, Datuk Ahmad Najmi merupakan individu tepat menguruskan 'Speedy Tigers'.

"Barisan kepimpinan KHM sudah buat keputusan, saya memang sudah berbincang dengan Datuk Manjit dan Datuk Ahmad Najmi. Kita lantik Datuk Najmi walaupun dia Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan, kami rasa beliau paling layak kerana dia juga adalah orang 'hands-on' dengan pasukan."

"Jadi, untuk pasukan lelaki kebangsaan, memang kita lantik Datuk Ahmad Najmi," kata Datuk Seri Subhan kepada pemberita dalam Majlis Berbuka Puasa KHM bersama media, di ibu negara.

KHM pada Januari membubarkan pasukan hoki lelaki kebangsaan termasuk jawatan pengurus pasukan susulan prestasi buruk gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain itu, ia turut menyaksikan Sarjit Singh dipilih sebagai ketua jurulatih mengantikan Arul Selvaraj.

Sementara itu, jelas Sarjit Singh, senarai akhir 30 pemain skuad 'Speedy Tigers' akan diumumkan esok.

Beliau juga sudah selesai membuat tapisan memilih pemain terbaik berdasarkan kem latihan yang diadakannya sebelum ini.

Senarai pemain kemudian akan dikecilkan dengan 18 pemain bakal dipilih menyertai saingan Piala Sultan Azlan Shah pada 4 hingga 11 Mei depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM