KELANA JAYA, 31 Mac- Penjaga gol muda kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman tekad membentuk keserasian bersama rakan sepasukan pada dua aksi persahabatan di Qatar.
Aksi persahabatan itu sempena menjelang saingan Piala Asia bawah 23 tahun (B23) sekali gus menjadi medan persiapan terakhir sebelum kejohanan membuka tirai pada 15 April depan.
Menurut Sikh Izhan, peluang itu harus digunakan sepenuhnya skuad negara bagi memperbaiki semua kelemahan.
"Di sana nanti, kita akan dua perlawanan persahabatan yang mana kita akan lawan China dan Qatar."
"Ini sebagai persediaan kita sebelum kejohanan dan ia amat bagus untuk pasukan kita bersedia, dalam kempen besar seperti ini," kata Sikh Izhan kepada pemberita, di Wisma FAM, di sini.
Pasukan B-23 kebangsaan akan berlepas ke Qatar, awal pagi esok.
Pada edisi kali ini, skuad kendalian Juan Torres Garrido diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.