KUALA LUMPUR, 20 Mac – Bekas eksekutif PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, dilantik sebagai Pengerusi baharu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi penggal 2025 hingga 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pemilihan Datin Anita dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang pentadbiran, penajaan sukan, dan pengurusan strategik.
Dalam pengumuman yang sama, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PSM.
“Kami mahukan gabungan kepakaran Datuk Seri Windsor John yang berpengalaman dalam bola sepak serta Datin Anita yang mempunyai latar belakang kukuh dalam pentadbiran dan penajaan sukan. Saya berharap tempoh lantikan ini dapat memperkukuh usaha yang telah dimulakan sebelum ini,” katanya.
Hannah turut menegaskan bahawa kedua-dua individu tersebut merupakan ahli lembaga PSM sebelum ini, justeru kesinambungan usaha yang dimulakan oleh mantan Pengerusi, Datuk Hans Isaac, dapat diteruskan dengan lebih baik.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di ibu negara.
Terdahulu, pada Isnin, Datuk Hans Isaac mengumumkan menerusi Instagram bahawa beliau tidak lagi memegang jawatan Pengerusi PSM, yang disandangnya sejak dua tahun lalu.