fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia 2026: Brazil dalam tekanan

Jurulatih Dorival Junior bersama barisan pemain Brazil semasa sesi latihan menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 Zon CONMEBOL / Foto REUTERS

BRASILIA, 20 Mac– Jurulatih Brazil, Dorival Jr, menegaskan bahawa pasukannya menunjukkan peningkatan meskipun berada di kedudukan kelima pada kelayakan Piala Dunia 2026 Zon CONMEBOL menjelang perlawanan penting menentang Colombia dan Peru.

Juara Piala Dunia lima kali itu berdepan tekanan yang semakin memuncak selepas hanya memenangi dua daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Brazil terikat dengan keputusan seri 1-1 berturut-turut menentang Venezuela dan Uruguay dalam dua perlawanan terakhir, tetapi Dorival berharap pasukannya dapat menemui semula identiti mereka dan kembali ke landasan kemenangan ketika menentang Colombia di ibu negara Brasilia pada Khamis.

"Kami bertanggungjawab terhadap prestasi semasa pasukan dan segala yang telah berlaku," kata Dorival dalam sidang media pada Rabu.

"Kami sedang berusaha untuk bangkit dalam kejohanan yang semakin mencabar setiap tahun, dan untuk kembali konsisten, kami perlu menyusun semula pasukan sepenuhnya bagi memastikan pertahanan yang mantap dan serangan yang berkesan.

"Saya akan lebih bimbang jika saya tidak melihat sebarang kemajuan walaupun keputusan terkini tidak begitu baik... Kami sedang melakukan pembetulan supaya keputusan seterusnya berbeza, tetapi tetap ada kemajuan, walaupun ramai yang enggan melihatnya", katanya.

Brazil berada dalam situasi yang luar biasa selama lebih dua tahun sejak tersingkir daripada Piala Dunia 2022 kepada Croatia menerusi sepakan penalti di suku akhir.

Dorival dilantik pada awal 2024 selepas pasukan itu dikendalikan oleh dua jurulatih sementara selama setahun.

Setakat ini, Dorival masih belum berjaya memenangi kepercayaan penyokong Brazil yang menuntut kejayaan, setelah hanya memenangi enam daripada 14 perlawanan sejak mengambil alih, termasuk kempen Copa America yang hambar apabila mereka tersingkir di suku akhir.

Brazil kini berada di kedudukan kelima dengan 18 mata, satu mata di depan Paraguay dan satu mata di belakang Colombia serta Ecuador. Uruguay berada di tangga kedua dengan 20 mata, manakala Argentina mendahului dengan 25 mata.

Hanya enam pasukan teratas dijamin tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD