SEOUL, 19 Mac- Kapten Korea Selatan, Son Heung-min, menepis kebimbangan mengenai prestasi dan kecergasannya ketika beliau berazam untuk membantu pasukannya melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.
Pemain berusia 32 tahun itu melalui musim sukar bersama Tottenham Hotspur di bawah kendalian Ange Postecoglou, dengan kelabnya kini berada di kedudukan ke-14 Liga Perdana Inggeris.
Son, yang sebelum ini menjadi tonggak utama pasukan Spurs, mengalami kecederaan hamstring hujung tahun lalu dan menerima kritikan daripada penyokong kelab berikutan prestasi kurang memberangsangkan.
Beliau hanya menjaringkan tujuh gol liga musim ini dan tidak beraksi selama 90 minit penuh dalam lima perlawanan terakhir.
Son dalam sidang media menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia berdepan Oman, mengakui bahawa musim ini dirinya berdepan dengan cabaran di Tottenham.
Namun, menegaskan bahawa kecergasannya berada dalam keadaan baik.
"Keadaan fizikal saya berada dalam keadaan sempurna," katanya.
Son turut menyatakan bahawa bermain di hadapan penyokong sendiri buat kali pertama tahun ini menjadi dorongan tambahan buat dirinya dan pasukan.
"Penyokong kami sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa dan kami tidak mahu mengecewakan mereka," kata Son, yang telah mewakili Korea Selatan sebanyak 131 kali dengan 51 jaringan.
Korea Selatan kini berada di ambang kelayakan ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Kemenangan ke atas Oman dan Jordan pada Selasa depan akan memastikan tempat mereka dalam kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, Korea Selatan akan turun tanpa tonggak pertahanan, Kim Min-jae, selepas pemain Bayern Munich itu mengalami kecederaan Achilles.- AFP