fb fb fb fb fb

Damok dapat tiket 'wild card', sah beraksi GP Motosikal Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Pelumba negara, Syarifuddin Azman sah beraksi pada saingan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Sepang bermula 21 hingga 23 Oktober ini menerusi tiket wild card.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif.

Katanya, Syarifuddin atau lebih mesra dipanggil Damok adalah pelumba negara paling layak beraksi di Sepang ketika ini.

Menurutnya, Damok yang bakal membuat penampilan kali kelima menerusi tiket wild card, akan beraksi bersama pasukan Vision Track Racing Team.

(Damok (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal
Azumu pada majlis pelancaran GP Malaysia)

"Selepas dua tahun GP Malaysia tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19, kami kini sudah bersedia menanti kehadiran penyokong tempatan serta antarabangsa.

"Dengan tiada pelumba Malaysia bersaing musim penuh pada musim ini, saya percaya Damok akan menjadi tarikan utama kepada peminat MotoGP di negara ini.

"Untuk itu, saya berharap jualan tiket akan meningkat dan penyokong tempatan dapat memberi sokongan padu kepada Damok," katanya pada majlis pelancaran GP Malaysia yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di sini, semalam.

Sementara itu, Damok ketika ditemui berkata beliau telah bersedia dari segi mental dan fizikal serta akan mempamerkan tunggangan terbaik di Sepang nanti.

"Saya pada aksi di tanah air ini saya sangat teruja, cabaran adalah untuk berada di kelompok hadapan dan saya akan buktikan," katanya.

Damok sebelum ini beraksi menerusi tiket wild card di Aragon pada tahun lalu serta pusingan di GP Portugal, Sepanyol dan Catalunya.

Pelumba negara itu yang beraksi pada musim penuh Kejuaraan JuniorGP 2022 ketika ini menduduki tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 97 mata bersama pasukan SIC Racing.

Media Baharu