fb fb fb fb fb

Olahraga Dunia: Acara jalan kaki, maraton dimulakan lebih awal

Stadium yang bakal menjadi lokasi Kejohanan Olahraga Dunia 2025 / AFP

TOKYO, 11 September - Acara maraton dan jalan kaki 35 kilometer (km) di Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun akan dimulakan setengah jam lebih awal.

Menurut penganjur, tindakan itu berikutan risiko kesihatan yang dibawa cuaca panas yang luar biasa.

Berdasarkan jadual, acara jalan kaki akan bermula pada Sabtu pagi, diikuti maraton wanita keesokan harinya, manakala maraton lelaki pada Isnin.

Dilaporkan minggu ini, suhu mencecah 33°C dengan gelombang haba dijangka berterusan hingga minggu depan.

“Disebabkan jangkaan suhu panas yang boleh mendatangkan risiko kesihatan dan keselamatan kepada atlet bertanding, semua acara jalan raya dalam tiga hari pertama… akan dimulakan 30 minit lebih awal daripada jadual asal.

"Masa untuk memulakan acara jalan raya telah pada 8:00 pagi dengan mengambil kira keadaan iklim, aspek operasi bagi memaksimumkan kehadiran penonton," demikian menurut kenyataan bersama daripada penganjur dan Olahraga Dunia.

Sementara itu, Presiden Olahraga Dunia, Sebastian Coe, mengakui suhu yang tinggi di Tokyo akan menjadi cabaran buat atlet.

Acara maraton dan jalan kaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2021, yang ditangguhkan akibat pandemik, telah dipindahkan ke bandar utara yang lebih sejuk, Sapporo, kerana kebimbangan terhadap cuaca panas.

Bagaimanapun kali ini, acara tersebut kekal di Tokyo yang menyaksikan suhu pada pertengahan September masih seperti musim panas.

“(Keputusan ini) telah dimaklumkan kepada atlet seawal mungkin bagi membolehkan mereka bersedia dan menyesuaikan diri dengan waktu permulaan baharu. - AFP

MOHAMAD KHAIRIE KHALID