fb fb fb fb fb

Connor Liew dan Jamie Tan ke Grand Finale Golf Remaja Antarabangsa

Pemain golf remaja negara, Connor Liew Axel Kai beraksi pada hari terakhir Kejohanan Golf 100PLUS Srixon Jelajah Pembangunan Malaysia 2025 di Miri, Sarawak

MIRI, 26 Jun- Pemain golf remaja negara, Connor Liew Axel Kai dan Jamie Tan Huan Ying menepati ramalan apabila masing-masing mengesahkan slot ke Grand Finale Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa yang dijadual berlangsung pada Oktober depan di Kelab Golf Kota Permai, Kota Damansara.

Bagi Connor, ini merupakan penyertaannya yang kedua dalam kejohanan tersebut dan beliau berharap dapat melakukan yang lebih baik, namun menekankan keperluan untuk bersedia dari semua aspek sebelum kejohanan bermula.

“Secara spesifiknya, saya bertarung dengan diri sendiri. Contohnya hari ini, saya mencatat empat di atas par pada enam lubang pertama, dan cuba memperbaiki semula pukulan selepas itu.
Saya perlu berlatih untuk tingkatkan stamina kerana golf bukan sekadar kekuatan fizikal atau mental, tetapi melibatkan kedua-duanya. Saya lebih tenang bila bermain dengan baik dan berharap dapat lakukannya ketika di Grand Finale nanti,” katanya.

Turut mengesahkan tempat ke Grand Finale ialah Muhd Farish Abdullah, Ng Li Xin, Brendan Wong, dan Ethan Chee Jian Hao.

Sementara itu, Jamie Tan mengetuai senarai lima pemain perempuan ke Grand Finale bersama Bernice Huang Ee Xian, Nur Fathya Emylda, Abigail Kedung Pearson, dan Ngo Yi Belle.

“Perkara yang saya pelajari ialah untuk lebih bersabar ketika bermain. Ada pukulan yang perlu diperbaiki kerana saya terlalu teruja sehingga membiarkan adrenalin mengawal permainan.
Kota Permai memiliki lapangan yang pantas dan mencabar. Selepas ini saya akan fokus kepada putting dan pukulan lain serta kawalan perasaan ketika bermain,” ujar Jamie.

Hari terakhir Kejohanan Golf 100PLUS Srixon Jelajah Pembangunan Malaysia 2025 menyaksikan Connor dan Jamie masing-masing mengesahkan status selaku juara bagi kategori Lelaki A dan Perempuan A.

Hari penutup kejohanan yang berlangsung di Kelab Golf Eastwood Valley, Miri, Sarawak turut menyaksikan keadaan cuaca yang mencabar apabila hujan lebat bermula sekitar jam 7.45 pagi memaksa permainan ditangguhkan lebih tiga jam sebelum disambung semula.

Connor, yang memulakan saingan dengan dua di atas par selepas tamat dua pusingan, menutup hari terakhir dengan 73 pukulan, satu di atas par untuk catatan terkumpul 219 pukulan, tiga di atas par, sekali gus muncul juara kategori Lelaki A.

Brandon Wong Yi akur di tempat kedua dengan catatan keseluruhan 237 pukulan, 21 di atas par, manakala Ng Li Xin di tangga ketiga dengan jumlah catatan sama.

Jamie pula menamatkan saingan dengan catatan keseluruhan 224 pukulan, lapan di atas par, bagi mengesahkan kejuaraan kategori Perempuan A. Ngo Yi Belle di tempat kedua dengan 231 pukulan, dan Abigail Kedung Pearson di tempat ketiga.

Kategori Lelaki B pula dimenangi oleh Ethan Chee Jian Hao, manakala Nur Fathya Emylda muncul juara kategori Perempuan B.

Kejohanan ini menghimpunkan 64 pemain golf remaja dari seluruh negara yang berkampung di Miri selama tiga hari bermula 24 Jun lalu.

Untuk sirkit kedua tahun ini, 10 pemain terbaik telah disenaraikan dalam kelompok 40 pemain elit negara yang bakal beraksi bersama pemain remaja dari seluruh dunia pada Grand Finale nanti.

Sirkit pertama telah berlangsung di Kelab Golf Templer, Rawang dari 6 hingga 8 Jun, manakala sirkit ketiga dijadual berlangsung di Kelab Golf Glenmarie, Subang dari 8 hingga 10 Julai depan.

Aksi Grand Finale Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa dijangka berlangsung pada Oktober 2025 di Kota Damansara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE