KUALA LUMPUR, 26 Jun- Seramai 350 peserta dari seluruh negara menyertai Kejohanan Catur Berpasukan Terbuka Kebangsaan 2025 (Piala PMX) yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur.
Kejohanan anjuran bersama Persekutuan Catur Malaysia (MCF) dan Chess Hub Sdn. Bhd. dengan sokongan IYC itu dirasmikan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, hari ini.
Bercakap kepada media selepas majlis perasmian, Datuk Seri Dr. Wan Azizah berkata, sukan catur merupakan sukan minda yang inklusif dan sesuai untuk semua peringkat usia, jantina serta keupayaan fizikal.
“Catur merupakan salah satu sukan utama yang mampu merangsang daya fikir dan kecerdasan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia bukan sekadar permainan, tetapi juga senaman untuk otak agar menjadi lebih tajam dan mahir,” katanya.
Menurut beliau yang juga merupakan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kejohanan seperti itu juga membawa makna yang lebih besar sebagai pemangkin hala tuju baharu pembangunan sukan catur negara.
“Kita mesti berani tetapkan sasaran tinggi demi kemajuan sukan catur di peringkat antarabangsa. Kita mahu negara melahirkan Grandmaster pertama dan lebih manis lagi, Grandmaster Wanita pertama Malaysia,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa agar usaha promosi dan pendedahan awal terhadap sukan catur diperluas melalui kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta persatuan dan kelab catur tempatan.
“Saya harap ibu bapa dan keluarga, khususnya di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, dapat sokong penyertaan anak-anak dalam aktiviti sebegini sebagai langkah elak remaja dari terjebak gejala negatif seperti merempit, pengubahsuaian motosikal secara haram, gangsterisme dan buli,” jelasnya.
Lebih bermakna, kehadiran Dr. Wan Azizah turut memberi sokongan kepada tiga cucunya yang bertanding dalam kejohanan tersebut bersama pasukan masing-masing.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ketinggalan memberi sokongan kepada cucunya dalam Festival Mini Catur NSTP–MCF di WTC Kuala Lumpur.