fb fb fb fb fb

Connor, Jamie dominasi hari pertama Jelajah Golf Remaja

Foto RTM

MIRI, 24 Jun – Liew Connor Axel Kai dan Jamie Tan Huan Ying masing-masing muncul pendahulu kategori Lelaki dan Perempuan A selepas tamat hari pertama Sirkit Kedua Kejohanan Golf 100PLUS Srixon Jelajah Pembangunan Malaysia di Kelab Golf Eastwood Valley, hari ini.

Beraksi dalam keadaan berangin dan di lapangan baharu berbanding edisi 2014 di Kelab Golf Miri, Connor menamatkan saingan dengan catatan par 72, meskipun sedikit bergelut pada sembilan lubang pertama.

“Angin hari ini memang okey, tapi lontaran saya agak rendah. Jadi mungkin saya bukan orang yang paling sesuai untuk menjawab soalan ini. Gaya lontaran saya lebih kepada ‘spin’ yang beralun, jadi angin tak begitu beri kesan kepada saya. Lagipun cuaca hari ini agak baik dan tenang.” katanya.

Catatan itu meletakkan Connor tiga pukulan di hadapan dua pencabar terdekat, AK Muhd Zakwan Pg Zaki Al Hakim dan Ng Li Xin yang berkongsi tempat kedua dengan 82 pukulan, 10 di atas par.

Dalam kategori Lelaki B, Muhd Harith Irfan Md Hendra Putera mendahului carta selepas aksi hari pertama.

Sementara itu, Jamie Tan menampilkan aksi konsisten untuk mendahului kategori Perempuan A dengan 73 pukulan, satu di atas par, lima pukulan di hadapan Ngo Yi Belle di tempat kedua.

Sebanyak 64 pemain berusia 13 hingga 18 tahun berentap dalam kejohanan berkenaan bagi merebut 40 slot ke Grand Finale Golf Remaja Antarabangsa yang dijadual berlangsung Oktober ini di Kota Permai Golf & Country Club, Kota Damansara.

Sirkit kedua berlangsung dari 24 hingga 26 Jun, manakala sirkit ketiga bakal diadakan di Kelab Golf Glenmarie, Subang pada 8 hingga 10 Julai depan.

AZRUL FAIZAL JUSOH