OTTAWA, 20 Jun-Persatuan Bola Sepak Kanada (CSA) dan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Jesse Marsch, sedang disiasat oleh CONCACAF berikutan dakwaan pelanggaran peraturan serta penggunaan bahasa kesat terhadap pegawai perlawanan ketika menang 6-0 ke atas Honduras dalam aksi Piala Emas Selasa lepas.
Marsch tidak berada di tepi padang semasa perlawanan itu kerana sedang menjalani penggantungan dua perlawanan susulan kad merah yang diterimanya dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Liga Negara CONCACAF menentang Amerika Syarikat pada Mac.
“Jawatankuasa Tatatertib akan meneliti semua bukti yang tersedia, termasuk laporan rasmi yang menyatakan bahawa CSA dan ketua jurulatih mereka mengingkari peraturan yang dikenakan terhadap individu yang sedang digantung, serta menggunakan bahasa kesat terhadap pegawai perlawanan CONCACAF,” menurut kenyataan rasmi CONCACAF pada Khamis.
Terdahulu pada Mac, Marsch mendakwa bahawa pasukan Kanada dilayan dengan "tidak adil" oleh pegawai perlawanan di bawah naungan CONCACAF.
Marsch, 51, merupakan bekas pemain Major League Soccer (MLS) dengan lebih 300 penampilan bersama D.C. United, Chicago Fire dan Chivas USA.
Sebagai jurulatih, beliau pernah membimbing Montreal Impact dan New York Red Bulls sebelum berhijrah ke Eropah untuk melatih Red Bull Salzburg (Austria), RB Leipzig (Jerman) dan Leeds United (England).
CONCACAF bagaimana pun belum mengesahkan sebarang tindakan susulan tetapi menyatakan bahawa siasatan tatatertib sedang dijalankan.-REUTERS.