fb fb fb fb fb

Christian Lundgaard julang kejuaraan pertama NTT IndyCar

(Christian Lundgaard)

TORONTO, 17 Julai- Christian Lundgaard dari Denmark merangkul kemenangan IndyCar pertamanya pada Ahad, menjadi pemenang petak utama kelapan untuk muncul juara Indy Toronto sekali gus menamatkan dominasi Alex Palou yang melakar hatrik tiga kejohanan terdahulu.

Pemain berusia 21 tahun itu menewaskan wakil Sepanyol, Palou yang juga merupakan pendahulu senarai pelumba keseluruhan dengan kelebihan 11.7893 saat pada aksi 11 pusingan di Exhibition Place.

"Saya agak kehabisan tenaga sekarang," kata Lundgaard. "Kereta itu baru sahaja laju sepanjang hujung minggu. Saya berkata sebelum perlumbaan kami mempunyai kereta yang cukup pantas untuk menang dan kami berjaya melakukannya."

Satu-satunya penamat podium dalam tiga kempen IndyCar bagi Lundgaard adalah ketika muncul naib juara Julai lalu di litar jalan raya Indianapolis Motor Speedway.

Dia adalah pemenang petak pertama yang meraih kemenangan di Kanada sejak pemain Perancis Simon Pagenaud melakukannya pada 2019.

Lundgaard, anak kepada juara Rali Eropah 2000, Henrik Lundgaard, turut memberikan kemenangan pertama kepada pasukan Rahal Letterman Lanigan Racing sejak pelumba Jepun Takuma Sato memenangi Indianapolis 500 pada 2020.

"Pasukan ini berhak mendapat kemenangan ini," kata Lundgaard. "Kami melihat di mana kami berada pada awal musim ini dan tahun lepas pada ketika ini, kami sedikit bergelut dengan prestasi jadi saya amat gembira untuk semua orang sekarang."

Sementara itu, Palou yang memburu kemenangan kelimanya dalam 10 perlumbaan sekadar berpusa hati di kedudukan kedua di Toronto.

Palou, juara musim 2021, bagaimanapun melebarkan kelebihan kutipan mata keseluruhan dengan tujuh mata kepada 417 mengatasi juara IndyCar enam kali Scott Dixon, pemenang Toronto 2022 dari New Zealand yang mengumpul 300 mata.

Colton Herta dari Amerika berada di tempat ketiga tepat di hadapan Dixon dengan Josef Newgarden dari Amerika di tempat kelima dan Scott McLaughlin dari New Zealand di tempat keenam.-AFP


(Alex Palou)

Media Baharu