fb fb fb fb fb

Chico Aura tamatkan kemarau gelaran juara, Se-Young juarai Masters Malaysia

(Pemain perseorangan lelaki Indonesia, C Dwi Wardoyo bergambar bersama pingat selepas berjaya menewaskan
lawannya pada perlawanan pusingan akhir badminton 'Perodua Malaysia Masters 2022'/Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 10 Julai - Pemain bukan pilihan dari Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo, akhirnya berjaya menamatkan kemarau tanpa sebarang kejuaraan antarabangsa apabila meraih gelaran Masters Malaysia 2020 di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pemain perseorangan lelaki Indonesia itu menampilkan aksi membanggakan dengan menewaskan pemain pilihan kelapan kejohanan, Ng Ka Long Angus dari Hong Kong, 22-20, 21-15, pada pertarungan sengit untuk gelaran sulung kejohanan berstatus BWF Super 500.

Pemain nombor ke-45 dunia itu berkata ia adalah impian yang menjadi kenyataan untuk melakarkan pencapaian terbesar setakat ini sejak mula mewakili pasukan kebangsaan Indonesia  pada 2015.

"Saya harap kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada saya untuk bermain dengan baik pada kejohanan akan datang dan setanding dengan rakan sepasukan - Anthony Sinisuka Ginting dan Jonatan Christie," kata pemain berusia 24 tahun itu selepas aksi final itu.


(Aksi pemain badminton perseorangan wanita Korea Selatan, An Se Young ketika menentang pemain China,
Chen Yu Fei pada perlawanan akhir badminton 'Perodua Malaysia Masters 2022'/Foto BERNAMA)

Sementara itu, pemain Korea Selatan, An Se Young muncul juara perseorangan wanita selepas akhirnya menewaskan juara bertahan, Chen Yu fei dari China, buat pertama kali dalam lapan pertemuan mereka sebelum ini.

Se Young menjadi pemain pertama dari Korea Selatan merangkul kejuaraan tersebut selepas menyingkirkan Yu Fei dengan keputusan straight set 21-17, 21-5 dalam tempoh 38 minit.

Pemain berusia 20 tahun dan berada di ranking keempat dunia itu mengakui bahawa sukar untuk mempercayai boleh memenangi final terhadap Yu Fei selepas tewas kepada pemain ranking ketiga dunia itu selama ini.

"Saya melakukan banyak kajian tentang permainannya menerusi video lama dan itu banyak membantu saya meningkatkan prestasi menentangnya," katanya yang membuat persediaan menghadapi Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo dari 21 hingga 28 Ogos ini.

Dalam pada itu, aksi akhir Kejohanan Badminton Master Malaysia 2022 menyaksikan ketiadaan wakil Malaysia selepas dua wakil negara iaitu beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di separuh akhir apabila tewas kepada lawan masing-masing.

Situasi yang sama juga berlaku ketika Terbuka Malaysia minggu lalu apabila tidak ada wakil negara di pentas akhir. -BERNAMA 

Media Baharu