KUALA LUMPUR, 10 Mei - Moonton Games dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh persiapan skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand, khususnya dalam memburu pingat emas pertama bagi kategori berkenaan.
MoA yang dimeterai menyaksikan MOONTON memberikan sokongan kewangan, teknikal dan promosi kepada MESF dalam proses pemilihan, persiapan dan perwakilan pasukan lelaki dan wanita MLBB kebangsaan ke temasya berprestij serantau itu.
Presiden MESF, Muhammad Naim Al-Amin, berkata selain Sukan SEA, MoA ini akan diteruskan ke Kejohanan Dunia IESF 2025, dengan kerjasama pasukan seperti Todak bagi membentuk skuad terbaik negara.
Sementara itu, Ketua E-Sukan Malaysia MOONTON Games, Fikri Rizal Mahruddin, menegaskan kerjasama ini bukan sekadar tertumpu kepada Sukan SEA semata-mata, tetapi sebagai langkah strategik untuk menjadikan Malaysia hab e-sukan utama Asia Tenggara.