KELANA JAYA, 15 Mei- Pengarah Teknikal Harimau Malaya Tan Cheng Hoe menyatakan rasa teruja untuk menyumbang semula kepada kebangkitan skuad negara di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Peter Cklamovski.
Jelas Cheng Hoe, beliau melihat potensi besar dalam kalangan pemain muda, khususnya dari peringkat bawah 18 tahun hingga ke skuad bawah 23 tahun, sebagai kunci utama kepada kejayaan masa depan skuad Harimau Malaya.
"Sekarang, fokus utama kami adalah kepada kempen kelayakan Piala Asia yang sememangnya mencabar kerana hanya juara kumpulan akan layak ke peringkat seterusnya.
"Pada masa yang sama, dari segi kejurulatihan dan pengurusan, semuanya kelihatan semakin tersusun.
"Kehadiran ramai pemain warisan dan pemain tempatan dilihat mampu melonjakkan prestasi pasukan Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi berbanding sebelum ini", katanya pada sidang media pengumuman senarai pemain Harimau Malaya di Wisma FAM, di sini hari ini.
Tan Cheng Hoe turut menyentuh mengenai projek jangka panjang pasukan bola sepak kebangsaan menuju Piala Dunia 2030.
Untuk itu, beliau tekad menyumbangkan segala pengalaman yang dimiliki, bukan hanya kepada skuad senior, tetapi juga kepada skuad bawah 23 tahun negara.
Tambah beliau, antara tanggungjawab utamanya adalah membantu jurulatih mengenal pasti pendekatan taktikal terbaik, selaras dengan DNA permainan pasukan kebangsaan.