NEW JERSEY, 9 Julai – Penyokong setia Chelsea bersorak gembira apabila kelab kesayangan mereka melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Fluminense pada Selasa di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey.
Penyerang baharu Chelsea, Joao Pedro, mencuri tumpuan apabila menjaringkan kedua-dua gol dalam penampilan pertamanya sebagai pemain kesebelasan utama sejak menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu dari Brighton & Hove Albion dengan nilai perpindahan sebanyak 60 juta euro minggu lalu.
Menariknya, Joao Pedro pernah beraksi bersama Fluminense, menjadikan pertemuan tersebut penuh emosi buat pemain muda tersebut.
Walaupun bilangan penyokong Chelsea dilaporkan lebih kecil berbanding penyokong Fluminense dalam stadium yang berkapasiti 82,500 penonton, mereka tetap menunjukkan semangat luar biasa.
Di pihak Fluminense, penyokong pasukan dari Brazil itu nyata kecewa dengan kekalahan yang menamatkan kemaraan mengejut mereka ke peringkat separuh akhir, namun begitu mereka tetap berbangga dengan pencapaian pasukan dan berikrar untuk kembali bersaing empat tahun akan datang.
Chelsea kini menanti pemenang antara Real Madrid dan Paris Saint-Germain yang bakal bertemu dalam separuh akhir kedua pada Rabu. Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada Ahad ini. -REUTERS