NEW JERSEY, 9 Julai – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique enggan membandingkan skuad semasanya dengan pasukan terdahulu yang menampilkan Kylian Mbappe, menjelang pertembungan separuh akhir Piala Dunia Kelab FIFA menentang Real Madrid, kelab baharu bekas bintang PSG itu.
“Saya tidak berada di sini untuk bercakap tentang masa lalu. Saya hanya fokus kepada masa depan,” katanya dalam sidang media apabila ditanya sama ada PSG kini lebih baik tanpa kapten pasukan kebangsaan Perancis itu, yang berpindah ke Real Madrid secara percuma tahun lalu.
Bagaimanapun, jurulatih dari Sepanyol itu mengakui bahawa menentang bekas anak buahnya menambahkan 'perisa' kepada perlawanan tersebut.
“Menentang kelab paling berjaya di dunia sudah tentu memberikan motivasi tambahan,” katanya.
PSG sekali lagi bakal beraksi dalam cuaca panas melampau di New Jersey, dengan sepak mula pada waktu petang. Ketika perlawanan separuh akhir antara Chelsea dan Fluminense semalam, suhu mencecah lebih 35 darjah Celsius dengan kelembapan melebihi 54 peratus sehingga mencetuskan amaran rasmi daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (AS).
“Kami mula membiasakan diri bermain dalam keadaan ini kerana ia sudah menjadi kebiasaan sepanjang kejohanan ini.”
“Namun, ia bukan situasi yang baik untuk persembahan bola sepak. Sukar untuk bermain dalam keadaan sedemikian, tetapi ia sama bagi kedua-dua pasukan,” ujar Enrique.
Bekas pengendali Barcelona itu turut menyatakan keterujaannya untuk menghadapi Real Madrid dalam perlawanan penting ini.
PSG kini bersaing untuk menempah tempat ke perlawanan akhir pada Ahad ini, menentang Chelsea yang mara selepas menewaskan Fluminense 2-0 di separuh akhir. -REUTERS