fb fb fb fb fb

Burnley rampas semula tampuk teratas Liga Kejuaraan

Pengurus Burnley, Scott Parker dilihat meraikan kejayaan pasukannya dengan penuh semangat sejurus tamat perlawanan menentang Norwich City awal pagi tadi / REUTERS

LONDON, 12 April- Burnley kembali mengungguli tangga teratas Liga Kejuaraan England selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Norwich City dalam aksi yang berlangsung di Turf Moor awal pagi tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad kendalian Scott Parker meneruskan rekod tanpa kalah kepada 29 perlawanan liga berturut-turut, hasil jaringan separuh masa pertama oleh Hannibal Mejbri dan Jaidon Anthony.

Norwich bangkit dengan aksi lebih meyakinkan selepas rehat, dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Jack Stacey, yang dimasukkan sebagai pemain gantian.

Namun, barisan pemain The Clarets kekal ampuh dalam pertahanan untuk mengutip tiga mata penuh, sekaligus meletakkan mereka tiga mata di hadapan Leeds United dalam perebutan dua slot automatik ke Liga Perdana Inggeris musim depan.

Leeds berpeluang untuk merampas semula kedudukan pendahulu sekiranya mereka menang perlawanan dalam tangan menentang Preston di Elland Road pada Sabtu ini. Sementara itu, Sheffield United yang menghuni tempat ketiga dengan lima mata di belakang Burnley, akan berkunjung ke pasukan tercorot liga, Plymouth.

Burnley yang tersingkir dari EPL musim lalu, kini tidak tewas dalam 21 perlawanan liga di tempat sendiri, dan Norwich gagal untuk memecahkan rekod tersebut.

Skuad Parker menguasai permainan dan penguasaan bola mereka membuahkan hasil seawal minit ke-14 apabila Mejbri menyambut hantaran sepakan percuma Josh Cullen dengan tenang untuk mencetak gol sulungnya bersama kelab itu.

Gol kedua hadir pada minit ke-24 apabila percubaan Anthony dari luar kotak penalti terkena bahagian belakang kapten Norwich, Shane Duffy, lalu memperdaya penjaga gol, Angus Gunn.

Stacey yang menggantikan Emiliano Marcondes pada minit ke-67 kembali memberi harapan kepada The Canaries apabila menyempurnakan peluang hasil tandukan Kenny McLean untuk gol ke-76.

Menariknya, itu hanya gol keenam yang berjaya ditembusi di laman sendiri oleh penjaga gol Burnley, James Trafford, sepanjang musim ini.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE