fb fb fb fb fb

Burnley kukuhkan kedudukan kembali ke Liga Perdana Inggeris

Pemain Burnley, Hannibal Mejbri menjaringkan gol menentang Norwich City bagi cerahkan peluang kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan / Foto REUTERS

LONDON,12 April-Burnley mengukuhkan usaha untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Norwich City pada Jumaat.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan mereka kembali di tangga teratas Liga Kejuaraan.

Skuad kendalian Scott Parker melanjutkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga kepada 29 perlawanan hasil jaringan separuh masa pertama oleh Hannibal Mejbri dan Jaidon Anthony di Turf Moor.

Walaupun Norwich bangkit dengan persembahan lebih bertenaga di babak kedua dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan pemain gantian Jack Stacey, Burnley tetap utuh mempertahankan kelebihan untuk meraih tiga mata penuh.

Kemenangan itu meletakkan The Clarets tiga mata di hadapan Leeds United dalam perebutan dua tempat teratas untuk promosi automatik.

Leeds bagaimanapun berpeluang untuk kembali ke puncak liga jika berjaya menewaskan Preston dalam aksi di Elland Road pada Sabtu. Sementara itu, pasukan di tangga ketiga, Sheffield United, yang ketinggalan lima mata di belakang Burnley, akan berkunjung ke kelab tercorot liga, Plymouth.

Burnley, yang tersingkir dari Liga Perdana musim lalu, kini mencatat 21 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri.

Pad perlawanan berkenaan, Burnley menguasai penguasaan bola dan serangan mereka membuahkan hasil pada minit ke-14 apabila Mejbri menyambut hantaran sepakan percuma Josh Cullen dengan larian tepat ke dalam kotak penalti sebelum menyudahkan dengan rembatan rendah menewaskan penjaga gol, Angus Gunn.

Ia merupakan gol sulung pemain tengah Tunisia itu untuk kelab.

Burnley menggandakan kelebihan pada minit ke-24 apabila percubaan Anthony dari luar kotak penalti terkena belakang kapten Norwich, Shane Duffy, dan mengelirukan Gunn.

Stacey, yang dimasukkan pada minit ke-67 menggantikan Emiliano Marcondes, merapatkan jurang untuk The Canaries pada minit ke-76.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD