ISKANDAR PUTERI, 10 April - Johor Darul Ta'zim (JDT) berpesta gol dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi, selepas membelasah Kelantan Darul Naim FC, 9-0.
Perlawanan pelengkap jadual bagi juara liga super musim ini, menyaksikan penjaring prolifik, Bergson Da Silva mencetak lima gol.
Penyerang berbisa itu membuka tirai jaringan seawal minit ke-7, sebelum menambah gol kedua pada minit ke-20.
Beliau melengkapkan hatrik hanya empat minit kemudian, sebelum terus meledak dengan gol keempat pada minit ke-27, dan gol kelima, minit ke-36.
Babak kedua pula menyaksikan Romel Morales menyumbang gol ke-enam dan ke-tujuh JDT, masing-masing minit ke-54 dan 57.
Jaringan Shahrul Saad, minit ke-62 dan Safiq Rahim, minit ke-84. melengkapkan pesta gol tuan rumah.
Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata, momentum cemerlang itu bakal menjadi suntikan moral terbaik menjelang aksi terakhir Liga Super dan final Piala FA, tidak lama lagi.
"Musim ini sangat mencabar kerana ia panjang dan berbeza berbanding musim-musim sebelum ini, tetapi para pemain telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Perlawanan di gelanggang lawan menentang Kuching nanti amat penting, agar kami dapat tiba ke pentas final dalam keadaan terbaik," katanya.
Pembantu Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim FC, Rezal Zambery Yahya pula, tetap memuji komitmen anak buahnya yang beraksi sehabis baik, meskipun berdepan isu dalaman yang melanda pasukan.
"Harapan saya kita tetap akan terus beraksi sehingga akhir musim ini sebab kita masih ada lagi kontrak dan kita mesti menghormati kontrak kita. Bagaimanapun saya tetap mengharapkan para pemain kita cuba berikan terbaik walaupun dalam keadaan sebegini. Kita dapat lihat walaupun kena sembilan gol tetapi pemain-pemain saya bersunguh-sungguh," kata Rezal.