BREMEN, 26 November- Bayer Leverkusen mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menang selesa 3-0 ke atas Werder Bremen.
Kemenangan tersebut sekali gus melebarkan rekod kemenangan pasukan itu kepada lapan perlawanan berturut-turut.
Pada perlawanan berkenaan, Bayer Leverkusen memperolehi gol pertama hasil gol sendiri pertahanan Werder Bremen, Olivier Deman pada minit ke-9 perlawanan.
Leverkusen terus menggandakan jaringan menerusi gol kedua oleh Jeremie Frimpong yang merembat kencang di dalam kotak penalti pada minit ke-42.
Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Xabi Alonso terus menggandakan serangan dan berjaya memperolehi gol ketiga pada minit ke-76 menerusi Alex Grimaldo.
Gol itu juga merupakan gol kelima peribadi buat Grimaldo dalam saingan Bundesliga.
Sementara itu, Pengurus Bayer Leverkusen, Xabi Alonso menyifatkan kemenangan itu merupakan hadiah terbaik buat ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada Sabtu.
"Kami ingin terus memperbaiki permainan. Hari ini (Sabtu) kami tidak bermain dengan sempurna.
"Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama dengan banyak mengawal permainan.
"Pada separuh masa kedua, Werder Bremen memberikan sedikit tekanan, namun kami berjaya memenangi perlawanan", kata Alonso.
Bayer Leverkusen kini di persada liga dengan 34 mata, manakala Bayern Munich mengutip 34 mata di tempat kedua liga.-REUTERS