LONDON, 15 Mac- Bristol City melonjak ke kedudukan play-off carta Championship selepas menewaskan Norwich 2-1 di Ashton Gate.
Mark Sykes membuka tirai jaringan seawal minit keenam dengan rembatan lengkung selepas menerima hantaran Rob Dickie.
Gol kedua City hadir pada minit ke-23 apabila pertahanan Norwich, Jose Cordoba, kehilangan bola dan Joe Williams pantas mengumpan kepada Nahki Wells, yang membuat putaran licik sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol, George Long.
Norwich cuba merapatkan jurang menerusi jaringan Borja Sainz pada minit ke-82 hasil hantaran lintang Callum Doyle, namun tekanan di saat akhir tidak cukup untuk menyamakan kedudukan.
Kemenangan itu menyaksikan Bristol City naik ke tangga kelima, mengukuhkan peluang mereka untuk merebut tempat dalam play-off bagi memburu tiket ke Liga Perdana Inggeris.-AFP