fb fb fb fb fb

Nurul Izzah lebur rekod kebangsaan acara pecut di Turkiye

Ratu berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus menyinar

KUALA LUMPUR, 15 Mac - Ratu berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus menyinar apabila sekali lagi melebur rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 10.578 saat (s) dalam acara pecut individu di Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye hari ini.

Pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Velodrom Konya, atlet berusia 22 tahun itu memadam rekod 10.658s yang diciptanya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai bulan lepas.

Beliau menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 hari ini sekali gus melayakkan pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mara ke pusingan 1/16 sebelum menewaskan pelumba dari Republik Czech Veronika Jabornikova.

Nurul Izzah bagaimanapun kempunan tempat di suku akhir apabila dikecewakan Mina Sato dari Jepun pada pusingan 1/8.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Nur Alyssa Mohd Farid kecundang seawal pusingan kelayakan selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-33 dengan masa 10.909s.

Bagi acara keirin lelaki pula menyaksikan Muhammad Shah Firdaus Sahrom melangkah ke pusingan kedua selepas menamatkan kedudukan pertama dengan 9.662s dalam perlumbaan (heat) 3 manakala Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan saingan di kedudukan keempat dalam perlumbaan 4.  - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN