fb fb fb fb fb

Brazil akur hilang Neymar, fokus untuk ke pusingan kalah mati

FOTO AFP

DOHA, 28 November - Skuad Brazil terpaksa akur dengan ketiadaan khidmat penyerang, Neymar Jr untuk berdepan Switzerland pada awal pagi esok.

Juara dunia lima kali itu boleh mengesahkan tempat dalam pusingan kalah mati dengan kemenangan ke atas Switzerland, bergantung juga kepada keputusan perlawanan di antara Serbia dan Cameroon, pada hari sama.

Brazil memulakan kempen mereka di Qatar dengan kemenangan 2-0 ke atas Serbia dalam Kumpulan G yang mana aset utama pasukan, Neymar cedera akibat terseliuh di pergelangan buku lali.

“Ia adalah sesuatu yang sukar untuknya (Neymar) dan selepas perlawanan dia sedih. Walaupun ia perkara biasa tetapi Neymar mengimpikan untuk berkhidmat di Piala Dunia."

“Kini, selepas ujian dan rawatan, dia melakukan fisioterapi 24 jam sehari yang menunjukkan betapa dia mahu kembali bersama kami.

"Kami tidak tahu bila tetapi kami berharap ia secepat mungkin,” kata pertahanan tengah Brazil, Marquinhos.


(Pemain pertahanan Brazil, Marquinhos/AFP)

Sementara itu, bintang sensasi bola sepak, Cristiano Ronaldo menjadi pemain pertama Portugal menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia selepas menyempurnakan penalti yang dipertikaikan dalam kemenangan pembukaan Portugal 3-2 ke atas Ghana dalam Kumpulan H.

Portugal akan layak ke pusingan kedua jika menewaskan Uruguay di Stadium Lusail pada esok selepas skuad itu hanya mencatatkan seri 0-0 berdepan Korea Selatan.

Danilo Pereira telah diketepikan daripada baki peringkat kumpulan selepas patah tiga tulang rusuk dalam latihan sekali gus pemain pertahanan berpengalaman, Pepe, 39, berkemungkinan akan diturunkan.

Ia akan menjadikannya pemain luar kedua tertua pernah muncul dalam perlawanan Piala Dunia selepas pemain hebat Cameroon, Roger Milla.

Piala Dunia Qatar 2022 menyaksikan 32 pasukan berentap di peringkat kumpulan untuk membawa pulang trofi paling berprestij dunia itu selepas Perancis mencatatkan kemenangan itu pada edisi lalu.

Hanya setiap juara dan naib juara kumpulan layak untuk ke pusingan 16, pusingan kalah mati.

Qatar dan Kanada merupakan dua pasukan yang tersingkir awal pada peringkat kumpulan, setakat ini selepas keduanya-duanya tewas dalam dua perlawanan.-AFP

 

Media Baharu